Thursday, April 3, 2014

Oktober

Diterjemahkan oleh Peng Jeck Mor (Bahasa Cina - Melayu), OKTOBER mengisahkan remaja berusia 15 tahun yang kematian ibu dan bapanya. Diberikan nama sebagai Liu Shiyue, digelarkan sebagai Oktober, asalnya adalah Yang Guifan, sudah menarik perhatian pembaca untuk menulusuri hidup Oktober yang lahir pada bulan November. Tinggal bersama-sama keluarga adik lelaki ibunya, membuatkan dia berasa selalu bersalah dan kekurangan. Seperti memasukki cerita pengembaraan kerana Oktober cuba menuruti tugasan yang diberikan oleh ibunya melalui surat yang ditulis. Selesai satu tugasan, Oktober perlu meneruskan tugas berikutnya yang kadang-kala dia berasa agak sukar untuk dilaksanakan. 

Membaca buku ini seperti ‘naik dan turun’ bukit beberapa kali. Pembaca berasa perlu membuat analisis dan keputusan sama ada sesuatu tugas tertentu telah sampai penghujung atau masih perlu dicari jawapan yang kukuh. Khususnya melibatkan ‘pengembaraan dan pencarian’ siapakah sebenarnya Oktober. Adakah benar dia anak kandung ibu yang baru meninggal atau anak wanita yang masih hidup. Kita boleh sama-sama berkongsi membantu Oktober mencari ibunya melalui novel ini. Dapatkah Oktober menyelesaikan tugasan yang diwasiatkan ibunya melalui empat surat tersebut….. 

Novel ini juga boleh memperluaskan pemikiran pembaca mengenai cara hidup masyarakat Cina di Malaysia, seperti cara menguruskan mayat bagi beragama Buddha, kesederhanaan hidup dan kelangsungan hidup harian. 
  • Kematian ibu Oktober, membolehkan kita tahu bagaimana kebudayaan dan larangan dalam masyarakat Cina dan beragama Buddha sewaktu ‘menghormati’ jasad.
  • Kehidupan Professor Yang yang hanya sanggup menggunakan kereta Kelisa juga membuktikan beliau cukup sederhana, meskipun mampu membeli kereta yang lebih mahal. Pengalaman kenderaan isterinya dilarikan penjahat, mengajarnya untuk hidup sederhana.
  • Kehilangan Oktober membuatkan keluarga Professor Yang juga belajar menerima takdir Tuhan dan dia yakin kesabaran mereka dibalas Tuhan dengan kehidupan lebih makmur: bila dia berjaya mendapat PhD dalam bidang DNA dan anak-anak yang ramai.
Menerusi cerita ini juga pembaca akan dapat mengetahui bahawa masyarakat Cina suka memberikan gelaran yang akan pelik, merujuk kepada peribadi seseorang seperti Makcik Kepoh, Tiang Lampu, Puan Rama-Rama, Patung Barbie, Monyet Sedih, Chocolate, Si Mata Kecil dll. 

Karya: Khor Ewe Pin, Novel Pelangi Sdn. Bhd. 2007. 

Wallahuwallam ….

Bumi Cinta


Penulis mengakui bahawa cetusan idea penulisan BUMI CINTA adalah hasil tadabbur beliau ke atas firman Allah SWT, surah Al-Anfal (Ayat 45-47):

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung. Dan ta'atlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riya' kepada manusia serta menghalangi (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.”

Mengisahkan seorang pemuda Indonesia bernama Muhammad Ayyas, mahasiswa sarjana di New Delhi, India yang juga pernah menimba ilmu di bumi Madinah. Beliau ke Moskow, Rusia atas dasar ingin berguru dengan Professor Abramov Tomskii, Dekan Sejarah Asia Tengah di Moskovskyj Gosudarstvennyj Universiteit Imeni Lomonosova (Universiti Negeri Moskow) MGU dalam usaha menyiapkan kajian tesis kesarjanaannya mengenai Kehidupan Umat Islam di Rusia pada masa pemerintahan Stallin.

Ketibaannya Rusia dengan disambut oleh teman lamanya Devid. Rakannya semasa di Indonesia, namun sudah agak lama menetap di Rusia. Beliau membantu Ayass mendapatkan apartment dengan peruntukkan kewangan yang terbatas. Suatu perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati Ayyas bila mana rumah sewanya dikongsi dengan dua orang wanita Rusia, Yelena: pelacur kelas atas dan Linor: pemain biola (yang kemudiannya diketahui sebagai agen rahsia Mossad). Namun fakta-fakta yang diberikan Devid, membuatkan Ayyas tidak menolak terus usul asal, Devid memilih apartment tersebut untuknya. Diperkembangkan juga watak Yelena sebagai wanita yang membelakangkan Islam untuk kepuasan duniawi dan Linor yang dilahirkan daripada keturunan Islam berjiwa kental, ibunya Salma Abdul Aziz dan bapanya Ezzuddin, rakyat Palestin.

Dipertemukan pula dengan Anastasia Palazzo iaitu seorang gadis penganut kristian ortodoks dan juga pembantu kepada Professor Abramov Tomskii. Anastasia diberi peluang untuk membantu Ayyas membuat kajian kerana Professor Abromov perlu bertugas ke luar dearah, ketika itu. Ketiga-tiga wanita ini yang mendominasi perjalanan cerita BUMI CINTA. Konflik berlaku bila mana Ayyas di ‘ganggu’ oleh tiga wanita ini. Anastasia menginginkan Ayyas sebagai pasangan seagama, Yelena mengharapkan Ayyas sebagai pelindungnya dan Linor merencanakan Ayyas sebagai pelaku pengeboman di hotel terkemuka Rusia.

Novel ini sebenarnya tidak memerangkap kita kepada pemikiran cinta muda-mudi semata-mata. Olahannya menjangkau luar pemikiran, merangkumkan kehidupan masyarakat yang tiada pegangan hidup atau tepatnya tidak mempuyai semangat roh keagamaan dan diperbandingan dengan watak yang taat sujud kepada perintah Allah seperti Ustaz Hasan Sadulayevna, Pak Joko, Aminet Sadulayevna dan Puan Ekaterina.

Menyelusuri buku ini memberikan suatu pengukuran tentang kebebasan hidup manusia yang mana sanggup melakukan pembunuhan dalam usaha menyelamatkan diri sendiri sama ada secara halus atau terangan. Watak Sergei Gadotov dan gadis Ukraine yang masih berkuliah dimatikan dengan agak kasar oleh tangan Linor Jelinek, agen zionis demi memastikan kelangsungan hidup sentiasa terjamin selamat. Diperlengkapkan lagi dengan peristiwa kekejaman Zionis terhadap muslim Palestin di Sabra dan Sathila. Harus diperhalusi karya ini untuk mengetahui siapakah yang sanggup Ayyass terima sebagai suri jannahnya!

Karya: Habiburrahman El-Shirazy, terbitan Ar-Risalah Production Sdn. Bhd., 2010.