Kami bertolak seawal 7.00 pagi dan tiba di Taman Alam sekitar 9.00 pagi. Matahari yang baru perlahan-lahan muncul, menyebabkan rasa panas terik belum terasa. Selepas daftar masuk ke chalet Taman Alam (kami menyewa 2 buah chalet), kami ke kedai makan untuk bersarapan pagi. Selesai bersarapan kami menyusuri kedai-kedai di sekitar pekan kecil tersebut. Ada beberapa cenderahati dibeli untuk anak-anak.
Sekitar jam 11 pagi kami mengambil kesempatan menaiki keretapi yang disediakan untuk ke Bukit Malawati. Tiba di puncak bukit, kami disambut ’meriah’ oleh monyet-monyet. Rasa takut dan gerun kerana bimbang haiwan berkenaan mengigit dan menganggu kami. Di situ, ada penjual yang sememangnya menjual kacang panjang yang siap dipotong-potong dengan harga RM2 seikat untuk diberi makan kepada monyet berkenaan. Selanjutnya kami ke Muzium Bukit Malawati yang menempatkan pelbagai sejarah tempat berkenaan. Satu jam kami di situ, kami turut semula ke pintu utama dengan menaiki keretapi yang datang berikutnya.
Seterusnya kami pulang ke chalet dengan hasrat merehatkan badan. Pukul tiga petang kami menjelajahi kawasan hutan simpan dan sempat menaiki Menara Peninjau. Ketika itu, terdapat sukarelawan yang sedang membuat lakaran beberapa jenis burung. Menerusi Menara Peninaju tersebut kami dapat melihat hampir keseluruhan tempat tersebut.
Pada awalnya saya menjangkakan bahawa kawasan tersebut tidak seluas mana, jadi bekalan air minuman tidak di bawa sekali. Anak-anak mula menjerit-jerit dan mula membuat pelbagai aksi membosan kerana penat dan dahaga. Oleh itu, pada hari tersebut kami hanya berjalan satu suku di kawasan seluas itu .
Senja menjelang maghrib kami memanjat lagi Bukit Malawati menggunakan tangga yang disediakan. Rupanya di sana amat ramai orang yang memang sedia menunggu untuk melihat matahari melabuhkan dirinya dan membiarkan malam menjelma.
Keesokan pagi kami sekali lagi kami sekali lagi ke kawasan hutan simpan berkenaan dan menjelang hampir keseluruh tempat berkenaan. Sempat menemui beberapa burung besar (mungkin bangau) dan binatang rimba yang lain.
Semasa pulang ke chalet kami sempat memetik seikat besar daun paku merah untuk di bawa pulang ke rumah.(dalam dua tiga kali juga saya memasak bubur lambuk Terengganu dengan daun-daun paku tersebut. Bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada petang hari ...
No comments:
Post a Comment